Sunday, January 30, 2011

Hosni Mubarak Enggan Undur

Petikan daripada Utusan Malaysia 29 Januari 2011


Penunjuk perasaan antikerajaan yang mendesak Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan bertempur dengan polis rusuhan di Kaherah, Mesir, kelmarin. - Reuters/Agensi

KAHERAH 29 Jan. - Beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan kembali membanjiri jalan-jalan di tengah ibu negara Mesir ini hari ini, melaungkan slogan mengutuk Presiden Hosni Mubarak dan menyerang polis, hanya beberapa jam selepas beliau memecat Kabinet dan menjanjikan pembaharuan tetapi enggan meletakkan jawatan.

Tindakan penunjuk perasaan memenuhi Dataran Tahrir, tengah Kaherah dan bertempur dengan polis buat hari kelima berturut-turut menunjukkan ucapan Mubarak di televisyen sejurus selepas tengah malam tadi gagal meredakan kemarahan rakyat yang sudah bosan dengan pemerintahan autokratik beliau serta kemiskinan, pengangguran dan rasuah di negara ini.

Mubarak, 82, tampil di kaca televisyen selepas beliau mengerahkan askar dan kereta kebal ke ibu negara ini dan beberapa bandar lain dalam usaha untuk membendung ledakan protes jalanan menentang pemerintahannya selama 30 tahun.

Beberapa kereta kebal ditempatkan di Dataran Tahrir tetapi askar tidak campur tangan dalam protes di situ hari ini.

Penunjuk perasaan membaling batu ke arah polis yang cuba masuk ke dataran itu dan mereka membalas dengan tembakan gas pemedih mata dan peluru getah.

"Apa yang kami mahu ialah Mubarak dan bukan sahaja kerajaannya meletakkan jawatan," kata seorang penunjuk perasaan, Mohammed Mahmoud.

Sumber perubatan dan keselamatan berkata, 35 orang terbunuh sejak protes meletus pada Selasa lalu, termasuk 10 anggota polis, manakala 1,500 penduduk awam dan 1,000 anggota polis cedera.

Beberapa bahagian Kaherah kelihatan seperti zon perang, dengan sampah sarap bertaburan di jalan raya dan asap serta bau gas pemedih mata memenuhi udara.


Penunjuk perasaan antikerajaan yang mendesak Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan bertempur dengan polis rusuhan di Kaherah, Mesir, kelmarin. - Reuters/Agensi

Mubarak menyeru dialog di peringkat kebangsaan dilancarkan bagi mencegah kekacauan berterusan selepas penunjuk perasaan semalam membakar ibu pejabat parti politik beliau di tebing Sungai Nil serta banyak bangunan lain.

"Bukan dengan membakar dan menyerang harta milik persendirian dan awam kita mencapai aspirasi Mesir dan anak watannya, tetapi aspirasi itu akan dicapai menerusi dialog, kesedaran dan usaha," kata Mubarak dalam ucapan di televisyen, penampilan pertama beliau di mata umum sejak protes bermula pada Selasa lalu.

Kekacauan yang belum pernah berlaku sebelum ini mencetuskan gelombang kejutan di seluruh Asia Barat, di mana pemimpin autokratik lain mungkin dicabar dan turut menyebabkan kejatuhan pasaran kewangan global semalam. - Reuters/Agensi

No comments:

Post a Comment