Petikan daripada Berita Harian 30hb Januari 2011

Talian telefon, internet disekat selepas tunjuk perasaan semakin meruncing
KUALA LUMPUR: "Walaupun setakat ini keadaan pelajar Malaysia dilaporkan selamat dan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku, kami tetap bimbang kerana komunikasi kini terputus dan tiada langsung sebarang hubungan melalui telefon mahupun internet mengenai keadaan semasa mereka.
Dhiyauddin yang juga penuntut tahun satu pengajian pergigian universiti berkenaan kini sedang bercuti bersama kira-kira 29 lagi pelajar Malaysia di Bukit Sinai yang terletak kira-kira 430 kilometer dari Kaherah yang juga bersempadan dengan Israel.
Katanya, mereka bernasib baik kerana masih boleh berhubung dengan rakan dan ahli keluarga di tanah air kerana hubungan telekomunikasi di kawasan itu masih tidak terganggu meskipun internet masih belum boleh berfungsi sepenuhnya.
“Alhamdulillah... kami pun terkejut kerana telefon masih boleh digunakan di kawasan ini (Sinai), sedangkan ia langsung tidak boleh digunakan apabila berada di bandar utama lain.
“Apapun doa dan harapan kami supaya tiada sebarang perkara tidak diingini menimpa mereka di sana (Kaherah),” katanya.
Dhiyauddin berkata, kebanyakan pelajar pengajian perubatan dan pergigian ketika ini sedang menghabiskan cuti selama kira-kira dua minggu sebaik peperiksaan semester tamat minggu lalu dan kebanyakannya memang sudah merancang untuk bercuti di luar Kaherah.
Dia yang akan kembali ke rumah sewanya di Kaherah hari ini turut meminta seluruh rakyat Malaysia supaya mendoakan kesejahteraan pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di Mesir dan meminta kerajaan mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan terjamin termasuk memanggil pelajar pulang jika perlu.
Seorang lagi pelajar Universiti Al-Azhar, Muhammad Al-Amin Salleh berkata, alat pengesan dan pengimbas diletakkan di semua pintu masuk di lapangan terbang bagi memastikan tiada pengunjung yang melakukan tindakan di luar jangkaan ketika kerajaan menerima tekanan daripada penunjuk perasaan.
Dia yang menceritakan pengalamannya itu menerusi laman blognya allgreenislamic.blogspot.com juga mendakwa anggota polis bertindak memadamkan gambar kameranya pada 25 Januari lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, dengan menggunakan alasan gambar diambilnya tidak perlu.
“Ini menampakkan Mesir sedang berjaga-jaga bagi mengelak sebarang serangan dan cubaan untuk menggulingkan kerajaan,” katanya yang ketika itu sedang menghantar dua kenalan berlepas pulang ke Malaysia.
Katanya, ramai anggota polis kelihatan berkawal di beberapa lokasi strategik di Kaherah bagi meningkatkan tahap keselamatan lebih tinggi.

No comments:
Post a Comment